Stacy sewaktu majlis pelancaran albumnya di Zeta Bar, Hotel Hilton, Kuala Lumpur. - Foto YAP CHEE HONG PETALING JAYA: Penyanyi popular, Stacy, 21, akui tidak keliru dengan imej sebenarnya apabila ada pihak mempersoalkan imej yang ditampilkan semasa majlis pelancaran album terbarunya, Stay-C lebih ringkas berbanding imej di dalam album tersebut.
Selesa dengan imej ringkas berseluar panjang ketat dan baju t, Stacy menjelaskan kelainan imej yang dilihat dalam album Stay-C itu hanyalah untuk memenuhi kehendak yang diingini pada album itu bagi menampakkan kematangan album keduanya yang turut memuatkan lagu berentak balada.
“Saya lebih selesa memakai pakaian yang ringkas dengan berseluar dan berbaju t apabila menari kerana kebanyakan lagu-lagu saya berentak rancak.
“Biarpun saya turut menyanyikan lagu balada untuk album kedua ini, tetapi saya tetap selesa memakai pakaian yang selesa kerana terdapat lagu rancak lain yang memerlukan saya menari,” katanya ketika sidang media dan pelancaran album Stay-C di Zeta Bar, Hotel Hilton, Kuala Lumpur.
Tambahnya: “Saya hanya akan memakai pakaian seperti gaun labuh ketika ke majlis tertentu, sesi fotografi atau pun membuat persembahan mengikut kesesuaian lagu.
“Tetapi untuk majlis pelancaran kali ini, saya lebih selesa memakai pakaian seperti ini yang lebih melambangkan imej sebenar saya dan bersesuaian dengan umur saya yang baru memasuki 21 tahun.”
Stacy yang baru menyambut hari kelahirannya pada 18 Ogos lalu tampil dengan tujuh buah lagu dalam album keduanya itu iaitu Kasanova, Cemburu, Bosan, Lalai, Kapsul, Gempur dan Pelangi Senja.
Antara lagu-lagu tersebut, lirik lagu berjudul Cemburu ditulis oleh sahabat baiknya, Akim AF7.
Biarpun pasangan ini pernah digosipkan bercinta, namun Stacy menganggap lirik lagu itu hanyalah sekadar lirik dan tidak pasti ditujukan kepada sesiapa mahupun dirinya.
“Pada mulanya saya tidak tahu Akim menulis lirik Cemburu kerana lagu itu dihasilkan bersama-sama dengan komposer KunciDemak.
“Jadi, saya terkejut setelah mendapat tahu Akim telah menulis lirik lagu itu dan turut gembira kerana liriknya menarik.
“Tetapi saya tidak pasti maksud yang cuba disampaikan oleh Akim menerusi lirik itu dan sekadar menyanyikan lagu itu,” ujarnya lagi yang mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan album tersebut.
Berhubung tajuk album yang menggunakan nama Stay-C yang memberikan kelainan kepada ejaan namanya sebelum ini, dia berkata Stay-C hanya digunakan untuk tajuk album itu dan tidak akan mempengaruhi ejaan nama asalnya.
“Saya masih mengekalkan ejaan nama Stacy tetapi untuk album ini saya memberikan kelainan dari segi ejaan tetapi masih mengekalkan sebutannya.
“Malah peminat boleh kaitkan juga Stay-C dengan ‘stay cool’ atau ‘stay creative’,” katanya yang turut berduet dengan idolanya iaitu Amy Search menerusi lagu Gempur.
source: mstar online