STACY tidak pernah rasa tercabar biarpun banyak penyanyi-penyanyi baru yang muncul dalam industri muzik tanah air. Semua orang berhak mendapat tempat dan begitu juga Stacy.
"Stacy tak pernah mengejar populariti semata-mata. Biarlah populariti itu datang sendiri seiring dengan produk yang Stacy ada. Cukuplah orang mengenali Stacy sebagai seorang penyanyi daripada tak kenal langsung," kata Stacy dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Sebagai bintang yang dicungkil bakatnya daripada program realiti paling popular Akademi Fantasia ramai yang mula mencongak jangka hayat mereka memandangkan sudah banyak 'juara' sebelum ini yang hilang entah ke mana.
Mungkin semua disebabkan salah percaturan atau mungkin juga tiada karisma untuk terus bertahan merentas ranjau sebagai anak seni.
Apabila nama Stacy muncul dalam arena muzik tempatan, mulalah orang sekeliling berfikir sampai bila dia mampu menempatkan diri dalam industri seni yang rata-rata dilambakkan dengan bintang realiti.
Tapi telahan-telahan itu ternyata silap apabila nama Stacy semakin mendapat perhatian. Pelbagai kejayaan yang telah diraih oleh anak kelahiran negeri Sabah sedangkan ada rakan-rakan yang lain sedang merangkak mencari tapak untuk bertahan.
Kelincahan dirinya di atas pentas setiap kali membuat persembahan juga mengundang rasa kagum seisi masyarakat. Jarang sekali ada penyanyi wanita yang mampu beraksi sedemikian rupa tetapi Stacy mampu melakukannya.
Untuk itu pelbagai strategi dan perancangan yang telah di atur oleh dirinya dan pihak pengurusan Astro Entertaiment Sdn. Bhd. bagi memanjangkan 'jangka hayatnya'.
Satu persatu lagu baru keluar dan menjadikan dirinya cukup bertuah apabila tak pernah dilupakan peminat. Sejak popular dengan lagu Aku Stacy kira-kira dua tahun yang lalu, perjalanan yang dilaluinya cukup menggembirakan sehinggalah dia melancarkan singleterbarunya yang berjudul Jahat baru-baru ini.
Single yang diciptakan oleh Edry KRU itu bukan sahaja sudah dimainkan di corong-corong radio malah klip videonya juga sudahpun siap sepenuhnya.
"Stacy sangat teruja apabila berpeluang menjadi Geisha dan Ninja dalam klip video ini. Mula-mula rasa risau juga tetapi semua pihak memberikan kerjasama yang baik sehingga menjadikan ia perkara yang cukup menarik bagi Stacy.
"Memang seronok apabila dapat bekerjasama dengan Ghaz yang menjadi pengarah untuk klip video ini. Dia tahu apa yang patut dilakukan supaya ia menjadi lebih menarik lagi.
"Semuanya gara-gara filem Memoir of Geisha. Filem yang menjadi inspirasi seterusnya direalisasikan dalam pembikinan ini," kata Stacy lagi.
Sejak klip video tersebut ditayangkan di laman Youtube kira-kira dua minggu yang lalu, lebih 50,000 pelayar telah pun menonton klip video Jahat. Rata-rata memberikan komen yang positif memandangkan ini merupakan kali pertama dia beraksi sedemikian rupa.
Cukup manis dalam persalinan kimono persis gadis Jepun ditambah pula dengan solekan yang cukup berbeza daripada kebiasaan, Stacy benar-benar lain.
Untuk menjadikan mukanya seperti Geisha yang sebenar, kata Stacy ia memakan masa empat jam untuk disolek.
"Memang cukup rimas apabila mula disolek menggunakan airbrush. Tapi ini pengalaman yang menarik dan mengagumkan. Ini juga merupakan kali pertama Stacy pakai baju kimono seumur hidup," katanya tertawa.
0 comments:
Post a Comment