Subscribe News Feed Subscribe Comments

Anugerah Planet Muzik bakal gegarkan Jakarta !

Source : Gua.com.my

Buat julung-julung kalinya Anugerah Planet Muzik (APM) yang menggabungkan tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia akan diadakan di Jakarta, Indonesia. Acara yang dinanti-nantikan oleh peminat muzik serantau ini akan berlangsung pada 18 Julai depan. Pengumuman ini telah dibuat dalam satu sidang media yang diadakan di Delicious Cafe, Dua Residency, Jalan Tun Razak pagi tadi.

Ini merupakan penganjuran kali ke-9 APM setelah diperkenalkan pada tahun 2000. Seperti tahun-tahun terdahulu, APM 2009 sekali lagi mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada Music Award Foundation (YAMI) Singapura dan Sound Recording Industry Association of Indonesia (ASIRI).

Sebanyak 18 kategori akan dipertandingkan pada APM 2009 nanti, di mana sembilan daripadanya di bawah Kategori Terbaik, tujuh di bawah Kategori Paling Popular dan dua untuk Kategori Khas.

Antara anugerah yang akan dipertandingkan ialah Persembahan Vokal dalam Lagu Terbaik (Artis Baru Lelaki dan Wanita), Artis Wanita Terbaik, Album Terbaik, Lagu Terbaik, Duo/Kumpulan Terbaik dan Kolaborasi Terbaik dalam Lagu.

Kumpulan Hujan mendominasi pencalonan daripada Malaysia dengan enam pencalonan di dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Duo/ Kumpulan Baru Terbaik), Duo/Kumpulan Terbaik, Lagu Terbaik, Album Terbaik, Artis Malaysia Terbaik dan Artis Serantau Paling Popular (Malaysia).

Aizat menduduki tempat kedua dengan empat pencalonan. Manakala, Datuk Siti Nurhaliza di tempat ketiga dengan tiga pencalonan. Bagaimanapun, untuk tahun ini tiada pertembungan di antara Siti dengan sahabat baik, Krisdayanti kerana Kris tidak mendapat sebarang pencalonan kategori. Lain-lain artis yang turut mendapat pencalonan ialah Faizal Tahir, Meet Uncle Hussein, Stacy, Nubhan, Yuna, Ayu OIAM, Reshmonu, Misha Omar, Nikki, Joe Flizzow dan Malique.

Beralih kepada artis Indonesia pula, pendatang baru, Afghan mendapat pencalonan terbanyak dengan enam pencalonan yang terdiri daripada Persembahan Vokal dalam Lagu Terbaik (Artis Baru Lelaki), Artis Lelaki Terbaik, Album Terbaik, Lagu Terbaik, Artis Indonesia Terbaik dan Artis Serantau Paling Popular.

Isteri kepada pelakon Ashraf Sinclair, Bunga Citra Lestari pula berjaya mendapat dua pencalonan bagi kategori Artis Wanita Terbaik di samping rakan senegaranya Mulan Jameela dan Artis Indonesia Paling Popular. Kumpulan ST 12 yang popular dengan lagu “Puspa” mendapat empat pencalonan.

Untuk artis Singapura pula, Taufik Batisah dan Hardy Mirza masih mendominasi pencalonan daripada Kota Singa tersebut. Taufik mendapat lima pencalonan dan Hardy Mirza mendapat tiga pencalonan. Perkara ini memang sudah dijangka kerana kedua-dua penyanyi yang lahir daripada program realiti ini mempunyai peminat fanatik yang cukup ramai di sana.

APM 2009 yang dianjurkan oleh Media Corp Radio dan Beyond Events Sdn Bhd ini akan disiarkan di saluran Astro untuk penonton Malaysia, saluran SURIA untuk penonton di Singapura dan Global TV untuk penonton di Indonesia. Waktu siarannya ialah jam 9 malam untuk Malaysia dan Singapura dan 8 malam di Indonesia.

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin
 
Head Hunters The Kadazan Boi ™ | TNB
.FJ_Heading {display: none;} .FJ_TrafFoot {display: none;}