Subscribe News Feed Subscribe Comments

Bimbang diketawakan

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my


PERASAAN gembira bekas juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Stacy, gembira bukan kepalang saat mendapat tahu dirinya tercalon dalam Anugerah Planet Muzik 2009 (APM2009) buat pertama kali menerusi dua kategori iaitu Artis Paling Popular dan Artis Serantau Paling Popular.

Apalagi anak kelahiran Sabah ini diberi peluang untuk menunjukkan kehebatannya di atas pentas APM2009 dengan membawakan lagu medley dari albumnya sendiri.

Namun rasa teruja itu terbantut pula apabila mendapat tahu persembahan rancak Stacy itu akan diadakan tanpa penari-penarinya.

Pemilik nama sebenar Stracie Angie Anam ini terpaksa membuat keputusan sama ada menyanyi tanpa penari ataupun menyanyi dengan iringan penari-penari dari seberang.

"Saya faham, untuk membawa artis-artis Malaysia, kami dikehendaki membuat permit dahulu dan membawa penari-penari saya yang ramai mungkin akan meningkatkan kos.

"Saya ada masa sebelas hari lagi dan dari segi persembahan tarian, saya masih di jalan yang buntu.

"Sebelum ini, apa-apa persembahan sekalipun, saya tetap akan membawa penari-penari saya kerana kami sudah mempunyai keserasian bersama.

"Tidak untuk kali ini. Saya kena bertindak pantas dan fikirkan cara terbaik untuk buat latihan bersama penari-penari dari seberang kerana saya akan tiba di sana dua hari sebelum APM 2009.

"Dah tentu kami tidak punyai masa yang banyak. Ada yang bercelaru pula persembahan saya, tak fasal-fasal saya merosakkan imej negara kita," ujarnya.

Beritahu Stacy lagi, jika nyanyiannya dipersembahkan tanpa penari-penari, ia akan mencacatkan persembahannya memandangkan lagu-lagu yang dibawakan penyanyi genit ini rancak.

Tambah pula, gadis ini mahu menunjukkan artis-artis Malaysia juga mampu bernyanyi sambil memberikan persembahan yang energetik.

BIARPUN meraih dua pencalonan pada APM 2009 dan diberi peluang membuat persembahan, Stacy bagaimanapun dihimpit dilema.


Justeru, dia terpaksa merancang sesuatu agar persembahannya berjalan lancar seperti biasa.

"Mahu atau tidak, saya perlu membuat persembahan bersama penari-penari di sana. Jadi saya mengambil inisiatif untuk merakamkan step tarian yang lengkap mengikut susunan lagu yang dibuat dan hantarkan kepada penari-penari sana.

"Rasanya itu sahaja jalan yang terbaik. Sebab dengan ketibaan saya yang begitu dekat dengan tarikh anugerah itu, saya tak mahu membuat persiapan di saat-saat akhir.

"Takut juga jika diketawakan nanti. Dari segi persembahan tarian, saya mungkin akan memasukkan elemen step lama dan baru," katanya.

Tidak mungkin seperti Agnes

Semua tahu, kelincahannya menari sambil menyanyi di atas pentas jarang dilakukan oleh penyanyi-penyanyi tempatan lain.

Oleh kerana itu penyanyi berusia 19 tahun ini dilabel sebagai sebagai 'Agnes Monica Malaysia'.

Namun, adakah gelaran itu akan dikatakan pula oleh masyarakat Indonesia dan adakah gelaran itu lebih kebaikan atau kritikan?

Sukar mahu mengagak. Bagaimanapun, Stacy sudah bersedia dengan penerimaan masyarakat seberang terhadap persembahannya.

"Kalau di sini (Malaysia), saya tak kisah dengan gelaran itu. Tapi resah juga kalau orang di sana ingat saya cuba meniru-niruu aksi Agnes.

"Tapi jika benarlah mereka juga menggelarkan saya seperti penyanyi itu, saya tidak boleh nak buat apa-apa. Biasalah kalau penyanyi yang ligat di atas pentas, peminat-peminat suka menyamakan dengan artis-artis lain.

"Padahal sebenarnya, konsep yang dibawakan sahaja yang sama, iaitu menyanyi sambil menari. Sama juga seperti Britney Spears atau Madonna, mereka menggunakan konsep yang sama seperti saya mahupun Agnes.

"Cuma gaya tarian sahaja yang berbeza jika diperhatikan betul-betul. Bagaimanapun ia satu cabaran untuk saya dan yang penting persembahan pada malam itu akan saya buat yang terbaik untuk menunjukkan penyanyi Malaysia juga mampu lincah di atas pentas," tuturnya yang bakal berduet bersama Adam AF menerusi lagu Menggegar Dunia.


AIZAT, Stacy dan Faizal Tahir berpeluang menunjukkan aura dan bakat menerusi APM 2009 yang berlangsung di Jakarta.


Merujuk kepada percakapannya itu, jelas Stacy begitu teruja dengan persiapan menjelang APM nanti.

Manakan tidak, inilah kali pertama Stacy menunjukkan bakat kepada masyarakat di luar Malaysia. dan baginya ia satu peluang yang amat besar yang tidak mungkin akan dilepaskan.

"Biasalah setiap acara-acara besar pasti ada sedikit masalah-masalah kecil. Semua itu tidak akan melunturkan semangat saya.

"Pencalonan dalam dua kategori juga benar-benar mengejutkan saya. Apalagi selain saingan terdekat saya dari Malaysia iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Hujan dan Meet Uncle Hussain, saya juga perlu bersaing dengan penyanyi-penyanyi Singapura serta Indonesia.

"Apa pun, saya tidak mengharapkan kemenangan. Cukuplah jika masyarakat luar dapat memandang bakat saya serta penyanyi-penyanyi tempatan lain," katanya.

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin
 
Head Hunters The Kadazan Boi ™ | TNB
.FJ_Heading {display: none;} .FJ_TrafFoot {display: none;}