PADA minggu kelima konsert Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, malam kelmarin sepatutnya peserta sudah mampu memberikan persembahan memberangsangkan seolah-olah mereka bakal bergelar juara.
Bagaimanapun, apa yang berlaku sebaliknya apabila pengkritik tetap juga komposer Edry Hashim menjelaskan, pada malam itu kebanyakan persembahan tidak memenuhi piawaian yang diperlukan untuk bergelar bintang.
Jika minggu sebelumnya mereka diberi lagu popular dua penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search, minggu ini pula mereka digandingkan dengan juara AF dan juga bintang AF terdahulu. Kenyataan itu diberikan Edry sewaktu peserta terakhir dan tersingkir, Mohd Rashidi Mohamad Isa (Sidi) selesai mengadakan persembahan duet bersama Juara Akademi Fantasia Musim Kedua (AF2), Zahid mendendangkan lagu Cinta Yang Sempurna. turut bertindak sebagai pengkritik malam itu, Datuk Khatijah Ibrahim dan penyanyi dan pelakon, Adibah Noor.
Kata Edry, kenyataan itu diberikan mewakili penonton yang menyaksikan konsert itu dan orang berpengalaman dalam industri muzik.“Sebagai orang yang pernah memegang jawatan A&R (pembangunan dan reputasi artis) di syarikat rakaman dan menerbitkan banyak album, saya lihat kebanyakan peserta ini mempunyai potensi, tetapi untuk bergelar bintang masih belum cukup.“Impian saya mungkin tinggi terhadap peserta AF7 ini dan saya mahukan yang terbaik daripada mereka.
Saya lihat mereka ada apa yang dicari tetapi ia terlalu samar, walaupun konsert sudah masuk minggu kelima. “Ini membuatkan saya berasa kecewa. Seharusnya pada malam ini (kelmarin), mereka sudah memberikan persembahan yang memukau dan orang sudah mula mengenali siapa mereka sebagai penyanyi.“Walaupun ada peningkatan, peserta ini masih belum mampu ‘pukul’ juara Akademi Fantasia musim keenam iaitu Stacy,” katanya.
Pada masa sama, sewaktu mengkritik persembahan dilakukan Ismaliza Ismail (Isma) yang mendendangkan lagu Kau Mawarku bersama suami, juga penerbit album, Zulkifli Majid (Zul 2 By 2), Edry turut menegur undian tinggi diterima peserta itu dan meminta pengundi menilai kembali undian dibuat.
Katanya, dia bercakap atas kapasiti pengalaman dan berasakan Isma belum cukup untuk bergelar juara rancangan realiti TV popular itu.“Saya tidak mempunyai masalah dengan Isma. Jika penonton berasakan dia layak bergelar juara, terpulanglah kerana mereka menentukan pemenangnya. Saya bercakap kerana mahu melihat dia pergi jauh. “Saya dapat rasakan Isma boleh melakukan lebih baik daripada persembahannya malam ini, tetapi dia perlu ada satu rangsangan untuk membolehkan dia melakukan lebih daripada sepatutnya,” katanya.
Sementara itu, Adibah Noor yang pertama kali diundang duduk di kerusi pengkritik berkata, dia melihat walaupun sebahagian besar peserta masih lagi bermasalah untuk melakukan persembahan, secara keseluruhan kebanyakan mereka dapat menghiburkan penonton.“Apabila bercerita mengenai persembahan, yang saya nampak boleh masuk ke pertandingan akhir ada dua orang. Begitupun sebagai pengkritik, apa yang kita cakap bukan digunakan 100 peratus oleh pengundi. “Penonton bukan peduli kalau peserta menyanyi sumbang atau tidak. Kalau sudah suka, mereka mesti undi. Ada yang mendengar kritikan sebab hendak belajar tetapi mereka ini tidak mengundi. Perkara ini saya turut jelaskan kepada Edry.
“Begitupun, secara jujur pada malam ini, saya nampak ada dua bintang yang bersinar iaitu Mohd Hafiz Mohd Suip yang mendendangkan lagu Terlanjur Bercinta bersama juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Mila dan Khairil Azam Pilus (Aril) menyanyikan lagu Aku dan Dirimu berduet dengan Marsha,” katanya.
Mengenai konsep persembahan dilakukan produksi apabila memanggil bekas juara dan beberapa pelajar Akademi Fantasia musim lalu berduet dengan peserta tahun ini, Adibah mengatakan ia turut mempengaruhi persembahan dilakukan.
“Mengambil contoh Sidi yang berduet dengan Zahid. Sebaik persembahan bermula, dia sudah tenggelam kerana kehadiran juara AF2 itu di pentas terlalu kuat untuk dia sehingga susah untuk berada setara.“Ada peserta yang ‘hanyut’ dibawa pasangannya seperti Mohd Qhaud Abdul Rashid (Qhaud) menyanyikan lagu Di Bius Cinta duet dengan Heliza. Apabila Heliza sendiri sudah sumbang apabila menyanyi, sudah tentu ia memberikan masalah kepada peserta AF7 itu.
“Sebagai orang baru, Qhaud masih tidak tahu bagaimana hendak menangani masalah ini dan sepatutnya dia mendengar nada suara sendiri untuk mengikut melodi lagu, seperti apa yang saya perjelaskan kepadanya sewaktu mengkritik persembahannya.
“Begitupun, ada juga peserta yang saya nampak berjaya ‘pukul’ bintang AF terdahulu seperti Hafiz, berjaya menenggelamkan Mila dan Mohd Yazid Ibrahim (Yazid) walaupun masih ada sedikit masalah vokal sewaktu menyanyikan lagu Terharu, tetapi masih dapat meletakkan dirinya setara dengan rakan duetnya, Yazer,” katanya. (BERITA HARIAN)
ps : jan dok ada yg kutuk Stacy k, ini artikel BH tau...
0 comments:
Post a Comment